Thursday, December 18, 2008

Safir menggapai redha ILAHI - bahagian 1 [hikmah kembara]



12-14 Disember 2008

Alhamdulillah, keputusan untuk datang ke Kuala Lumpur merupakan antara keputusan terbaik dalam hidup saya. Sekurang-kurangnya cuti yang berbaki beberapa hari lagi dapat diisi dengan perkara yang bermanfaat. Sebenarnya, saya ke KL untuk menghadiri satu kem ibadah yang dianjurkan oleh sebuah syarikat consultant. Sasarannya ialah pelajar-pelajar yang baru selesai peperiksaan SPM. Alhamdulillah, walaupun datang sebagai AJK program, namun pelbagai ilmu baru yang saya peroleh dan yang lebih bersyukur adalah safir kali ini menambahkan lagi semangat dan cinta saya kepada agama dan menjadikan saya insan yang termotivasi untuk hidup sebagai manusia yang berTUHAN.

Pengalaman berprogram dengan sahabat-sahabat yang lebih muda membuatkan saya berasa begitu kerdil dihadapan mereka. Walaupun saya sudah berusia 21 tahun, namun kualiti diri yang ada belum mencukupi untuk saya menjadi promoter terbaik kepada masyarakat di sekeliling saya yang Islam adalah agama terbaik untuk dianuti. Bagaimana seorang jurujual ingin memromosi produk yang dijualnya sekiranya dia sendiri belum merasai sendiri keberkesanan produk tersebut. Mungkin inilah yang menjadi antara punca kegagalan golongan pendakwah. Bukan untuk memperlekehkan atau melemahkan semangat dakwah mereka, tetapi sekadar ingin menyemarakkan dan menyedarkan golongan DA’IE bahawa dakwah akan berkesan sekiranya mereka sendiri mengamalkan Islam secara menyeluruh dalam diri mereka dalam usaha menyampaikan mesej agama..Mungkin mesej agama itu akan disampaikan dengan baik, namun belum tentu kesan dakwah itu akan mengtuk ke pintu hati sasaran mad’u kita dek kerana da’ie itu sendiri belum mengotakan apa yang dia katakan.

“Islah nafsaka, wad’u ghairaka”

Namun, bukanlah bermakna da’ie itu perlu mengundur diri apabila menyedari kekurangan ini. Kita semua adalah manusia yang sememangnya tidak lari dari kelemahan dan kekurangan. Dalam hadis di atas, sepatutnya menjadi pegangan dan sumber motivasi kepada golongan da’ie. Dalam masa kita memperbetul diri sendiri, kita juga wajib memperbetul masyarakat di sekeliling kita. Tanggungjawab dakwah memang sudah terletak dibahu kita sebagai muslim sejak kali pertama kita melafazkan kalam yang paling Agung selepas kalam ALLAH iaitu kalam syahadah, La Ilaha illallah Muhammad Rasulullah..Dan selepas setiap dari kita mencapai akil baligh, segala kewajipan seorang muslim itu harus ditaati selagi tidak ada ma’zurah yang menghilangkan tingkatan wajib itu. Terdapat beberapa ayat di dalam al-quran, kalam teragung bagi umat Islam, yang menyatakan kewajipan berdakwah. Antaranya ialah:

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung.
(Ali Imran:104)

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.
(Ali Imran: 110)

Jadi, apakah jalan terbaik untuk kita menjadi pendakwah yang terbaik untuk umat kini yang sememangnya tertunggu-tunggu para da’ie memimpin tangan mereka ke jalan yang diredhaiNYA, jalan yang diikuti golongan terdahulu untuk sampai kepada ALLAH swt..???

Bagi saya, 2 perkara yang perlu ada pada seorang da’ie iaitu:

ILMU
(fikr + ‘amal = tarbiyyah)

AKHLAK

2 perkara inilah yang menghiasi perjalanan dakwah Rasullullah sallahu ‘alaihi wasallam. Ilmu, ya’ni wahyu berupa syariat dari Ilahi yang disampaikan melalui guru baginda yang sememangnya mursyid, malaikat Jibrail ‘alaihi salam. Dan yang kedua, akhlak..dalam coretan sirah, sememangnya telah termaktub bahawasanya ramai manusia yang hidup pada zaman baginda tertarik dengan Islam kerana cantiknya kelakuan (husnul khuluk) baginda…

jadi, wahai para mujahid muda, da’ie yang ingin meneruskan perjuangan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, persiapkanlah diri kalian supaya golongan pendakwah tidak dituduh sebagai pembawa fitnah kepada agama itu sendiri. Jangan takut dan malu dengan kepincangan yang dimiliki, sebaliknya berusahalah menutupi kepincangan tersebut dengan kelebihan-kelebihan lain yang ada pada diri. ALLAH itu Maha Adil pada setiap sesuatu. Wallahu a’lam…

p/s :saya teringat kata-kata yang didendangkan dalam klip video filem Sang Murabbi..

selayaknya bagi jiwa-jiwa yang mengazamkan dirinya di jalan ini
menjadikan dakwah sebagai laku utama
dialah visi, dialah misi, dialah obsesi
dialah yang menggelayuti di setiap nafas
dialah yang akan mengantarkan jiwa-jiwa ini
Kepada redha dan maghfirah Tuhannya kelak

Bersambung…

No comments: