Rasulullah s.a.w bersabda :
“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan
dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, dosanya yang telah lalu telah diampuni (oleh Allah)”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Iman – no: 38)
selamat menyambut Syahrul Ramadhan buat semua saudara seakidah dimana jua anda berada...terutama insan-insan yang dekat dalam hidupku...semoga Ramadhan kali ini membawa sinar harapan dalam kehidupan kita, dunia dan akhirat...
bersempena dengan kedatangan Ramadhan, saya nukilkan amanat dan nasihat dari Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat...semoga beroleh manfaat, insyaALLAH...
************************************** :: :: :: ***************************************
Firman Allah Yang bermaksud : “Hai  orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana  diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa..” –  Al-Baqarah, ayat 183
Alhamdulillah, sekali lagi tetamu mulia  bernama Ramadhan menjenguk ke dalam ruang hidup kita. Sesungguhnya hidup  ini merupakan satu perjalanan, tiba di destinasinya ia akan terhenti  walau apa pun usaha untuk menegahnya daripada berhenti.
Syukur  kepada Allah SWT, ia masih belum terhenti sehingga ke saat ini untuk  membenarkan kita sekali lagi bertemu dengan Ramadhan. Syukur kerana  bulan ini ialah bulan yang menjanjikan hidayah dan ganjaran yang besar  buat sesiapa yang memburunya.
Sebagaimana yang seringkali saya  nyatakan sebelum ini, Ramadhan tidak usah lagi disebut sebagai bulan  puasa. Kadang-kadang sebutan bulan puasa lebih terkenal dari sebutan  bulan Ramadhan menyebabkan masyarakat hanya akan mengingati Ramadhan  sebagai bulan untuk berpuasa.
Justeru, ramai yang menganggap  puasa sahaja dengan menahan lapar dan dahaga tanpa mengerjakan  tuntutan-tuntutannya sudah cukup bererti di dalam menyambut Ramadhan.  Ini merupakan satu kesilapan dalam memahami tuntutan Ramadhan.
Perkara  paling penting dalam menyambut Ramadhan ialah taqwa kerana itulah  matlamat daripada ibadat puasa. Taqwa tidak lahir melainkan dengan  hidayah. Dan hidayah hanya tumpah ke dalam hati dengan izin Allah SWT.  Hati yang mendapat hidayah akan memandu anggota untuk melakukan  kebaikan. Kaki akan dipandu untuk ke masjid, lidah akan dipandu untuk  membaca al-Quran, tangan akan dipandu untuk bersedekah dan begitulah  anggota-anggota yang lain.
Hidayah ialah satu benda yang tidak  diajar dalam sekular, komunis, kapitalis mahupun sosialis. Tidak pernah  ideologi sekular mengajar penganutnya berusaha mencari hidayah.  Kapitalis hanya mengajar penganutnya mencari harta kekayaan tetapi tidak  pernah menyebut persoalan hidayah.
Umat Islam yang terpengaruh  dengan ideologi-ideologi ini hanya akan meratibkan soal-soal lahiriah  tanpa menyentuh soal hidayah. Bahkan ia akan dilabel sebagai hak  peribadi yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa sekalipun.
Inilah  silapnya pemikiran kebanyakan individu masyarakat pada hari ini.  Sedangkan hidayah ialah satu nikmat daripada Allah SWT. Di dalam surah  al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam setiap kali solat, kita diminta  untuk membaca permohonan mendapatkan hidayah atau petunjuk ke jalan yang  lurus. Firman Allah SWT :
اهدنا الصراط المستقيم
Yang bermaksud : “Tunjukilah kami jalan yang lurus..” – Surah al-Fatihah, ayat 6
Sekiranya  hidayah ialah persoalan yang tidak penting, maka apa perlunya untuk  dipohon di dalam solat? Apa perlunya untuk sentiasa diangkat permohonan  ini kepada Allah SWT berbelas-belas kali dalam sehari? Jawabnya, hidup  ini tidak akan bererti melainkan dengan hidayah daripada Allah SWT.  Justeru, mereka yang mendapat hidayah dianggap sebagai orang-orang yang  mendapat nikmat yang besar. Firman Allah SWT :
صراط الذين أنعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولا الضالين
Yang  bermaksud : (yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat  kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan)  mereka yang sesat. – Surah al-Fatihah, ayat 7
Dan siapa pula  orang-orang yang mendapat nikmat tersebut? Mereka bukan semestinya  orang-orang yang kaya, berpangkat dan berpengaruh yang pada hari ini  dipandang mulia di hadapan manusia kerana kekayaan, jawatan dan  pengaruhnya. Mereka ialah orang-orang yang disebut oleh Allah SWT :
مَنْ  يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ  عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ  وَالصَّالِحِينَ
Yang bermaksud : “Dan barangsiapa yang mentaati  Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang  yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin,  orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. dan mereka Itulah  teman yang sebaik-baiknya..” – Surah an-Nisa’, ayat 69
Selain  memohon untuk diberikan hidayah, semarakkanlah Ramadhan dengan bacaan  al-Quran sebanyak-banyaknya. Selain membaca, fahamilah makna dan  beramallah dengan kandungannya. Al-Quran ialah manual yang diturunkan  Allah SWT untuk manusia menjalani kehidupan di muka bumi ini. Ini kerana  bumi ini diciptakan oleh Allah SWT dan manual penggunaannya hanya  dikeluarkan oleh Allah SWT.
Memahami al-Quran membawa kita  mengenali di antara dosa dan pahala, syurga dan neraka. Ia umpama lampu  suluh yang menyuluh gelap pekat jahiliyyah.
Sebagaimana kita  akan mencari lampu suluh untuk menyuluh laluan pada saat malam pekat,  demikian juga laluan hidup perlu disuluh agar bercahaya. Lampu suluh  kehidupan ialah al-Quran. Inilah penyuluh yang akan menerangi laluan di  dunia, alam kubur bahkan apabila bangkit di akhirat nanti. Mereka yang  menolak al-Quran hakikatnya menolak lampu suluh yang disediakan oleh  Allah SWT. Mereka perlu bersedia untuk menghadapi kegelapan di alam  kubur dan kegelapan di hadapan Allah SWT kelak.
Bahayanya  masyarakat yang hidup tanpa lampu suluh ini sangat besar. Pengalaman  saya bermusafir ke Uzbekistan baru-baru ini cukup mengajar saya  bagaimana teruknya masyarakat apabila mengenepikan al-Quran selaku  manual hidup.
Di bumi yang tersemadinya jasad muhaddis agung  al-Imam al-Bukhari Rahimahullah itu, hari ini masih ditadbir dengan  nilai-nilai komunis sekalipun Uzbekistan telah merdeka dari Soviet  Union,ia masih mengekalkan beberapa dasar yang begitu sekali memberikan  kemudharatan kepada Islam.
Bumi ini yang pernah melahirkan  ulama-ulama besar seperti Imam Bukhari, Abu Laits As Samarkandi, Imam  Bahaudin, Imam Muslim, Imam Nasai, Imam Tirmizi, Imam Nakhai dan  lain-lain, hari ini seolah-olah kehilangan kesemua kebanggaan yang  pernah dicatat di dalam sejarah. Masjid-masjid cukup besar namun sunyi  dari diimarahkan.
Lebih teruk apabila anak-anak di bawah umur 18  tahun tidak dibenarkan datang ke masjid dengan alasan belum cukup umur.  Akhirnya pendidikan Islam semenjak kecil tidak disemai dan melahirkan  masyarakat yang hanya Islam pada nama tetapi tidak pada amalan  kehidupan.
Inilah rupa wajah masyarakat yang tidak dibentuk  dengan acuan al-Quran. Bagaimanapun, usaha-usaha untuk menyemarakkan  dakwah mula berjalan dan saya berharap suatu hari nanti bumi Uzbekistan  ini berjaya mengulangi sejarah kegemilangannya insya-Allah.
Apa  yang penting, perkongsian ini untuk mengingatkan kita bahawa begitulah  bahayanya apabila al-Quran dikesampingkan. Ditambah pula dengan para  ulama yang tidak mahu turun ke medan menegakkan pemerintahan yang  berlandaskan Islam, sedikit demi sedikit nilai Islam akan dicabut.  Apabila ia berjaya dicabut, ia akan mengambil masa yang lama untuk  disemai semula.
Justeru, jadikanlah Ramadhan sebagai ruang untuk  menyemarakkan al-Quran. Ibubapa berperanan di rumah, guru-guru di  sekolah dan kerajaan pula di dalam negara. Semua pihak perlu bekerjasama  dan insya-allah saya yakin dengan usaha berterusan, masyarakat umat  Islam dapat kembali menghayati al-Quran dalam kehidupan.
Akhir  kata, selamat menyambut Ramadhan. Semoga Ramadhan tahun ini akan lebih  mesra Qalbu bagi diri kita berbanding dengan Ramadhan yang telah  berlalu.
 
 
No comments:
Post a Comment